Selasa, 24 Februari 2009

Pengorbanan Seorang Isteri




Nura memerhatikan jam didinding, sudah dekat pukul 12.00 malam, argh.. dia lambat lagi malam ini. Akhirnya sofa itu jugak menjadi katilnya malam ini. 2.00 pagi suaminya balik lalu mengejutkan Nura.

"Nura, Nura bangun sayang". Hilmi mengejutkan isterinya. "Eh! abang dah balik, maaf Nura tertidur, abang nak makan?" tanya Nura. "Tak per lah abang dah makan tadi, Jomlah kita tidur di atas". Jawapan yang cukup mengecewakan Nura. "Arrggh, rindunya Nura pada abang, rindu nak makan semeja dengan abang, abang tak nak tengok ker apa Nura masak hari ni, ikan cencaru sumbat kesukaan abang," luah Nura dalam hati. "Abang naiklah dulu Nura nak simpan lauk dalam peti ais dulu", pinta Nura sambil menuju ke dapur.

Gugur air mata isterinya menyimpan kembali lauk-lauk yang langsung tidak dijamah suami tercinta. Kecil hatinya sedih dan pilu. Nura ambil dua keping roti sapu jem dan makan untuk alas perut kerana dia sememangnya lapar, tapi selera makannya terbunuh dengan situasi itu. Nura menghirup milo panas sedalam-dalamnya dan akhirnya masuk bilik air gosok gigi dan terus menuju ke bilik tidur. Sekali lagi terguris hati seorang isteri apabila melihatkan suaminya telah terlelap.

"Sampai hati abang tidur dulu tanpa ucapkan selamat malam tanpa kucupan mesra, tanpa belaian dan tanpa kata-kata kasih abang pada Nura", bisik hati kecilnya. "Aargghh, rindunya Nura pada abang. Nura rindu nak peluk abang, Nura nak kucup abang, Nura rindu abang". Luahan hati kecil Nura.Selesai solat subuh, Nura panjatkan doa semoga dia sentiasa beroleh kebahagiaan, dipanjangkan jodohnya dengan Hilmi tercinta, diberi kesihatan yang baik dan paling panjang dan kusyuk dia berdoa semoga Allah berikan kekuatan untuk menempuh segala onak badai berduri.

Selesai menjalankan amanat itu, Nura kejutkan Hilmi, manakala dia bingkas menuju ke dapur menyediakan sarapan buat suami tersayang. Nura keluarkan ayam dan sayur dan mula menumis bawang untuk menggoreng mee. "Assalamualaikum", sapa Hilmi yang sudah siap berpakaian untuk ke pejabat.

"Waalaikumsalam, sayang". Nura cuba bermanja sambil menambah, " Abang nak kopi atau teh?" Tanya Nura.Nura tetap kecewa apabila Hilmi hanya meminta air sejuk sahaja, dia ada 'presentation' dan hendak cepat, mee goreng pun hanya dijamah sekadar menjaga hati Nura dan tergesa-gesa keluar dari rumah. Nura menghantar pemergian suami hingga ke muka pintu

"Abang, Nura belum cium tangan abang, abang belum kucup dahi Nura", kata Nura selepas kereta itu meluncur pergi. "Arrghh rindunya Nura pada abang." Luahan geram rindu Nura pada suaminya. "Mi, semalam pukul berapa kau balik?" tanya Zikri. "Dekat pukul 2.00 pagi". Jawab Hilmi acuh tak acuh. "Wow dasyat kau, kalah kami yang bujang ni, woi semalam malam Jumaat ler, kesian bini kau". Zikri bergurau nakal. "Apa nak buat, lepas aku siapkan plan tu, aku ikut Saiful dan Nazim pergi makan dan borak-borak, sedar-sedar dah pukul 2.00. Aku balik pun bini aku dah tidur. " Balas Hilmi.

"Sorrylah aku tanya, sejak akhir-akhir kau sengaja jer cari alasan balik lewat, hujung minggu pun kau sibuk ajak member lain pergi fishing, kau ada masalah dengan Nura ke?". Zikri cuba bertanya sahabat yang cukup dikenali sejak dari sekolah menengah, sampai ke universiti malah sekarang bekerja sebumbung. "Entahlah Zek, aku tak tahu kenapa sejak akhir-akhir aku rasa malas nak balik rumah, bukan aku bencikan Nura, kami tak bergaduh, tapi… entahlah", terang Hilmi. "Well, aku rasa aku perlu dengar penjelasan lebar kau, aku nak dengar semuanya, tapi bukan sekarang. Lepas kerja jom kita keluar ok?". Usul Zikri. "Ok." Ringkas jawapan Hilmi sambil menyambung kembali merenung plan bangunan yang sedang direkanya.

Nura membuka kembali album kenangan itu. Tersenyum dia bila melihatkan saat manis dia diijab kabulkan dengan Hilmi. Majlis ringkas, hanya dihadiri sanak saudara dan rakan terdekat. Maklumlah yatim piatu, kenduri ini pun mujur sangat kakak sulungnya sudi mengendalikan. Saat-saat sebegini Nura teringat kembali alangkah indahnya sekiranya ibunya masih ada, akan diluahkan segalanya pada ibu tetapi sekarang, dia tidak punya sesiapa. Nura menangis sepuas hatinya. 5 tahun menjadi isteri Hilmi, bukan satu tempoh yang pendek.

Nura bahagia sangat dengan Hilmi, cuma sejak akhir-akhir ini kebahagiaan itu makin menjauh. Nura sedar perubahan itu, dan dia tidak salahkan Hilmi. Makin laju air matanya mengalir. "Abang sanggup menerima Nura, abang tidak menyesal?". tanya Nura 5 tahun yang lepas. "Abang cintakan Nura setulus hati abang, abang sanggup dan Insya-Allah abang akan bahagiakan Nura dan akan abang tumpahkan sepenuh kasih sayang buat Nura," janji Hilmi. "Walaupun kita tidak berpeluang menimang zuriat sendiri?". Tanya Nura lagi. "Syyy... doktor pun manusia macam kita, yang menentukan Allah, Insya-Allah abang yakin sangat kita akan ada zuriat sendiri", Hilmi meyakinkan Nura.

Nura masih ingat saat itu, apabila dia menerangkan pada Hilmi dia mungkin tidak boleh mengandung kerana sebahagian rahimnya telah dibuang kerana ada ketumbuhan. Harapan untuk mengandung hanya 10-20 peratus sahaja. Tapi Hilmi yakin Nura mampu memberikannya zuriat. Tapi, itu suatu masa dahulu, selepas 5 tahun, Nura tidak salahkan Hilmi sekiranya dia sudah mengalah dan terkilan kerana Nura masih belum mampu memberikannya zuriat.

Walaupun Nura sudah selesai menjalani pembedahan untuk membetulkan kembali kedudukan rahimnya dan mencuba pelbagai kaedah moden dan tradisional. “Arrghh, rindunya Nura pada abang” keluh Nura lagi. "Aku tak tahu macam mana aku nak luahkan Zek, sebenarnya aku tidak salahkan Nura, dia tidak minta semuanya berlaku, isteri mana yang tidak mahu mengandungkan anak dari benih suaminya yang halal, tapi..." ayat Hilmi terhenti disitu.

"Tetapi kenapa? Kau dah bosan? Kau dah give up?" Celah Zikri. "Bukan macam tu, aku kesian dengan dia sebenarnya, duduk rumah saja, sunyi, tapi sejak akhir-akhir ini perasaan aku jadi tak tentu arah, aku rasa simpati pada dia, tetapi kadang-kadang perasaan aku bertukar sebaliknya", terang Hilmi. "Maksudnya kau menyesal dan menyalahkan dia?", tingkas Zikri. "Entahlah Zek, aku tak kata aku menyesal, sebab aku yang pilih dia, aku tahu perkara ni akan berlaku, cuma mungkin aku terlalu berharap, dan akhirnya aku kecewa sendiri.

Dan aku tidak mahu menyalahkan Nura sebab itulah aku cuba mengelakkan kebosanan ini, dan elakkan bersama-samanya macam dulu kerana aku akan simpati pada dia dan mungkin akan bertukar menjadi perbalahan", Jelas Hilmi. "Dan kau puas hati dengan melarikan diri dari dia?", kata Zikri tidak berpuas hati."Apa kata korang ambil saja anak angkat?" Zikri enambah kata-katanya. "Anak angkat tak sama dengan zuriat sendiri Zek, kau tak faham. Aku harapkan zuriat sendiri dan dalam masa yang sama aku tahu dia tak mampu, ibu dan kakak-kakak aku pun dah bising, mereka suruh aku kawin lagi, tapi aku tak sanggup melukakan hati dia Zek. Aku tak sanggup", Ujar Hilmi.

Nura masih menanti, selalunya hujung minggu mereka akan terisi dengan pergi berjalan-jalan, membeli belah, atau setidak-tidaknya mengunjungi rumah saudara mara atau menjenguk keluarga Hilmi dikampung. Kini dah hampir 5 bulan mereka tidak menjenguk mertua dia. Dia sayangkan mertua dan iparnya yang lain macam saudara sendiri. Dia tidak punya ibu, maka dengan itu seluruh kasih sayang seorang anak dicurahkan kepada kedua mertuanya.

Sebolehnya setiap kali menjenguk mertua atau kakak-kakak iparnya dia akan bawakan buah tangan untuk mereka, biasanya dia akan menjahit baju untuk mereka, itulah yang selalu dibuat untuk menggembirakan hati mertuanya, maklumlah dia punya masa yang cukup banyak untuk menjahit. Selalunya juga dia akan buatkan kek atau biskut untuk dibawa pulang ke kampung suami tersayangnya. Dan mereka akan gembira sekali untuk pulang ke kampung, tapi kini... aarghh rindunya Nura pada abang. Nura tahu Hilmi pergi memancing sebab dia bawa bersama segala peralatan memancing, dan hari ini sekali lagi Nura menjadi penghuni setia rumah ini bersama setianya kasihnya kepada Hilmi.

Nura masih tidak menaruh syak pada Hilmi, dia masih cuba memasak sesuatu yang istemewa untuk Hilmi bila dia pulang malam nanti, tapi Nura takut dia kecewa lagi. Arghh tak apalah, demi suami tercinta. Aaarggh rindunya Nura pada abang. "So you dah tahu i dah kawin, tapi you masih sudi berkawan dengan I kenapa? Adakah kerana simpati atau ikhlas?" tanya Hilmi pada Zati yang dikenali dua minggu lepas semasa mengikut teman-teman pergi memancing. Sejak itu Zati menjadi teman makan tengaharinya, malah kadang-kadang teman makan malamnya. "I ikhlas Hilmi, dan I tak kisah kalau jadi yang kedua, I dah mula sayangkan you". Zati berterus terang. Lega hati Hilmi, “Tapi Nura…?” perasaannya teringat pada Isterinya. "Abang, Nura tak berapa sihatlah bang rasa macam nak demam saja," adu Nura pagi tu, sebelum Hilmi ke pejabat. "Ye ker? Ambil duit ni, nanti Nura call teksi dan pergilah klinik ye, abang tak boleh hantar Nura ni." jawapan Hilmi yang betul-betul membuatkan Nura mengalirkan air mata. Tidak seperti dulu-dulu, kalau Nura sakit demam Hilmi sanggup mengambil cuti, bersama-sama menemani Nura. Arrgg rindunya Nura pada abang. Disebabkan

Nura terlalu sedih dan kecewa, Nura mengambil keputusan tidak mahu ke klinik selepas makan dua bijik panadol, Nura terus baring. Sehingga ke petang, badan Nura semakin panas dan kadang-kadang terasa amat sejuk, kepalanya berdenyut-denyut. Nura menangis lagi. Malam tu, seperti biasa Hilmi pulang lewat setelah menemani Zati ke majlis harijadi kawannya. Nura masih setia menunggu dan Nura rasa kali ini Nura ingin luahkan segala perasaan rindu dan sayangnya pada Hilmi. Tak sanggup lagi Nura menanggung rindu yang amat sarat ini, rindu pada manusia yang ada didepan mata setiap hari.

Aargh rindunya Nura pada abang. Apabila Hilmi selesai mandi dan tukar pakaian, Nura bersedia untuk membuka mulut, ingin diluahkan segalanya rasa rindu itu, Nura rasa sakit demam yang Nura tanggung sekarang ini akibat dari memendam rasa rindu yang amat sarat. "Abang, Nura nak cakap sikit boleh?" Nura memohon keizinan seperti lazimannya. "Nura, dah lewat sangat esok sajalah, abang letih," bantah Hilmi. "Tapi esok pun abang sibuk jugak, abang tak ada masa, dan abang akan balik lambat, Nura tak berpeluang bercakap dengan abang". ujar Nura dengan lembut. "Eh.. dah pandai menjawab," perli Hilmi. Meleleh air mata Nura, dan Hilmi rasa bersalah dan bertanya apa yang Nura nak bincangkan.

“Apa yang Nura nak cakapkan? Tanya Hilmi."Kenapa abang terlalu dingin dengan Nura sejak akhir-akhir ni? Tanya Nura. "Nura, abang sibuk kerja cari duit, dengan duit tu, dapatlah kita bayar duit rumah, duit kereta, belanja rumah dan sebagainya faham?" alasan Hilmi. Nura agak terkejut, selama ini Hilmi tak pernah bercakap kasar dengan Nura, dan Nura terus bertanya, "Dulu Abang tak macam ni, masih ada masa untuk Nura, tapi sekarang?" Ujar Nura. "Sudahlah Nura, abang dah bosan, pening, jangan tambahkan perkara yang menyesakkan dada", bantah Hilmi lagi. "Sampai hati abang, abaikan Nura, Nura sedar siapa Nura, Nura tak mampu berikan zuriat untuk abang dan abang bosan kerana rumah kita kosong, tiada suara tangis anak-anak bukan?” Dan Nura terus bercakap dengan nada tersedu sedu. "Sudahlah Nura, abang dah bosan, jangan cakap pasal tu lagi abang tak suka. Bosan betul...!!" Pagi tu, Hilmi keluar rumah tanpa sarapan, tanpa bertemu Nura dan tanpa suara pun.

Nura makin rindu pada suaminya, demamnya pula kian menjadi-jadi. Malam tu Hilmi terus tidak pulang ke rumah, Nura menjadi risau, telefon bimbit dimatikan, Nura risau, Nura tahu Nura bersalah, Nura akan segera memohon ampun dan maaf dari Hilmi bila Hilmi kembali. Nura masih menanti, namun hanya hari ketiga baru Hilmi muncul dan Nura terus memohon ampun dan maaf dan hulurkan tangan tetapi Hilmi hanya hulurkan acuh tak acuh sahaja. Nura kecil hati dan meminta Hilmi pulang malam nanti kerana Nura ingin makan bersama Hilmi. Hilmi sekadar mengangguk. Tetapi malam tu

Nura kecewa lagi. Hilmi pulang lewat malam. demam Nura pulak makin teruk, dan esoknya tanpa ditemani Hilmi Nura ke klinik, sebab sudah tidak tahan lagi. Abang pulanglah abang, pulanglah Nura ingin beritahu perkhabaran ini, pulang abang, doa Nura. Nura kecewa tapi masih menanti, bila masuk hari ketiga Nura sudah tidak sabar lagi, Nura menelefon ke pejabat. Dan telefon itu disambut oleh Zikri. "Syukurlah Nura kau telefon aku, ada perkara aku nak cakap ni, boleh aku jumpa kau?", tanya Zikri "Eh tak bolehlah aku ni kan isteri orang, mana boleh jumpa kau tanpa izin suami aku, berdosa besar aku pada suamiku", tolak Nura.

Pilunya hati Zikri mendengar pengakuan Nura itu. Setianya kau perempuan yang bergelar seorang isteri, bisik hatinya. "Oklah kalau macam tu, aku pergi rumah kau, aku pergi dengan mak aku, boleh?" pinta Zikri "Ok, kalau macam tu tak apalah, aku pun dah lama tak jumpa mak kau, last sekali masa konvo kita 6 tahun lepas kan ?" setuju Nura. "Eh kenapa pucat semacam ni? tegur Mak Siti. Nura hanya tersenyum penuh makna, dan membisik, " Allah makbulkan doa saya mak cik". Pilu hati Mak Siti dan betapa dia sedar betapa Allah itu Maha Mengetahui apa yang Dia lakukan. Segera Mak Siti mendapat Zikri di ruang tamu dan khabarkan berita itu. Zikri serba salah.

"Nura, aku anggap kau macam saudara aku, aku tak tahu macam mana nak mulakan, aku harap kau tabah dan tenang, sebenarnya Hilmi dalam proses untuk berkahwin lagi satu, dan aku sayangkan korang macam saudara sendiri, dan aku tak sanggup rumah tangga korang musnah macam ni, kau tanyalah dengan Hilmi dan bincanglah, cubalah selamatkan rumah tangga korang." terang Zikri. Nura menangis semahunya dibahu Mak Siti, rasa hampir luruh jantung mendengarkan penjelasan itu. Patutlah selalu tidak balik rumah. Berita gembira yang diterima pagi tadi, sudah tidak bermakna. Nura menantikan Hilmi sehingga ke pagi, namun dia masih gagal.

Dua hari kemudian Hilmi pulang dan sibuk mengambil beberapa pakaian penting, dan masa ini Nura bertekad untuk bertanya. “Abang, mahu kemana?” Tanya Nura.“Aku punya hal lah! Nak pergi mana pun. Kau sibuk kenapa?” sentak Hilmi. Nura hanya menahan sebak didada.“Abang, betul ke apa yang Nura dengar yang abang mahu berkhawin lagi?” Tanya Nuya dengan nada sedih."Ya, betul apa yang Nura dengar tu, dan kami akan langsungkan jugak, dan abang takkan lepaskan Nura, itu janji abang, mak ayah pun dah tahu dan mereka tak kisah asalkan abang tidak lepaskan Nura, kerana mereka juga sayangkan Nura, dan Nura kena faham abang inginkan zuriat sendiri, walau apa pun persiapan sedang dibuat, abang janji takkan abaikan Nura." Janji Hilmi.

Nura sayu mendengar kata-kata Hilmi dan bagaikan kelu lidahnya untuk berkata-kata. Dan segala perkhabaran gembira itu terbunuh menjadi khabar duka. Nura terlalu kecewa. “Hello Hilmi, kau dimana sekarang?” Tanya Zikri. “Aku di Damansara bersama Zati. Kenapa kau cari aku Zikri?” balas Hilmi. “Isteri kau pensan petang tadi dan sekarang Nura berada di hospital, ICU (Unit Rawatan Rapi).” Kata Zikri. Hilmi berasa bersalah teramat sangat dan terus bergegas ke hospital melihat Nura. Hilmi masih menanti diluar, perasa bersalah sentiasa bersarang dikepala, sejak dihubungi Zikri, Hilmi bergegas ke hospital apabila dimaklumkan Nura pengsan dan mengalami pendarahan. Doktor bersama jururawat keluar dan masuk. Membuatkan Hilmi berasa takut dan resah. Doctor keluar dan terus bertanyakan siapa suami Nura Ain.

Lantas Hilmi berkata..“Saya tuan doctor, bagaimana keadaan isteri saya.?” Tanya Hilmi dihantui ketakutan."Insya-Allah En. Hilmi, dua-duanya selamat ". terang doktor pada Hilmi. "Dua-dua? Apa maksud doktor? tanya Hilmi. “Encik Hilmi tidak tahu yang Isteri Encik Hilmi mengandung? Baiklah, kedua-dua ibu dan baby dalam kandungan tu selamat, tapi isteri encik kena banyak berehat kerana rahimnya tidak begitu kukuh, saya takut banyak bergerak akan menyebabkan berlaku keguguran, tapi kami dah mulakan injection untuk kuatkan paru-paru baby dan jahitkan rahim dia dan bersedia untuk early delivery dalam kes macam ni," terang doktor. "Ya Allah, Nura mengandung, Ya Allah, berdosanya aku pada Nura", kesal Hilmi. Hilmi mula terrasa malu untuk menatap wajah isterinya Nura. "Kenapa Nura tak bagi tahu abang yang Nura mengandung?” Tanya Hilmi. "Nura memang nak bagitau abang. Tapi, bila abang cakap abang sudah bertunang dan akan berkahwin dengan Zati. Nura tak sampai hati bang,

Nura tak sanggup abang malu dan keluarga abang malu." Jelas Nura. "Nura sebenarnya, abang belum bertunang dengan Zati tu, abang cuma sekadar berkawan sahaja. Belum pernah abang bincangkan soal kawin lagi, dan abang tak sanggup nak teruskan hubungan tu lagi kerana abang akan jadi ayah tidak lama lagi." kata-kata Hilmi menyakinkan Nura. Kesal kerana mengabaikan Nura yang sedang mengandung, membuatkan Nura risau dan akhirnya pitam dihalaman rumah, mujurlah ada jiran nampak dan membawa Nura ke hospital, dan mujur jugak Nura pengsan dihalaman, dapat dilihat orang.

"Mama, kenapa mama buat tu, biarlah abang yang buat," marah Hilmi bila melihatkan Nura cuba menyapu lantai. Sejak keluar hospital hari tu, mertua Hilmi meminta supaya Nura tinggal saja dirumah sehingga bersalin kerana dia memang tidak dibenarkan doktor melakukan sebarang kerja, bimbang keguguran kerana rahimnya tidak kuat. "Ala Papa ni, biarlah mama buat sikit sajalah." balas Nura. Itulah panggilan manja mereka sekarang ni.

Dengan pengawasan rapi doktor, yang setiap dua tiga sekali akan melakukan pemeriksaan, dan bila usia kandungan mencecah 6 bulan, doktor mengarahkan supaya Nura hanya berehat dihospital, supaya senang mengawasi Nura dan andainya apa-apa berlaku Nura akan terus dibedah untuk menyelamatkan nyawanya dan bayi yang dikandung. Setiap hari Nura akan dilawati oleh Hilmi. Nura amat bahagia, ternyata bayi yang dikandung membawa sinar, amat berharga kehadiran baby nanti, sebab itulah Nura sanggup tinggal di hospital, sanggup menelan berjenis ubat, sanggup disuntik apa saja semuanya demi bayi itu.

Kandungan sudah di penghujung 7 bulan, Nura amat bahagia merasakan gerakan-gerakan manja bayi yang dikandungnya. Setaip tendangan bayi dirasakan amat membahagiakan. Doktor makin teliti menjaga Nura, kerana bimbang berlaku pertumpahan darah, dan akhirnya apa yang dibimbangi para doktor menjadi nyata apabila Nura mengalami pertumpahan darah yang serius, lantas terus Nura ditolak ke dalam bilik bedah dalam masa beberapa minit sahaja. Hilmi tiba bersama ibu dan ayahnya, Hilmi panik sekali, namun cuba ditenangkan oleh kedua orang tuanya. Hampir 1 jam berlalu, apakah khabarnya Nura di dalam sana Hilmi makin risau, setengah jam kemudian doktor keluar.

Hilmi meluru ke arah doctor. "Doktor bagaimana isteri saya ?", Hilmi terus bertanya. "Sabar, kami telah cuba sedaya upaya, tahniah anak encik selamat, encik dapat anak perempuan, seberat 2.1 kilogram, dan kini kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan Puan Nura Ain." terang doktor. "Apa maksud doktor? Tanya Hilmi yang sudah tidak sabar. "Begini, isteri encik kehilangan banyak darah, kami cuba sedaya upaya menggantikan darahnya yang keluar itu, dan masih berusaha, namun rahimnya terus berdarah dan kami mohon kebenaran untuk membuang terus rahimnya demi menyelamatkan nyawanya." jelas doktor.

"Buatlah doktor, saya izinkan asalkan isteri saya selamat." rayu Hilmi.“Errrmmm... lekanya baby sampai terlena." tegur Hilmi sambil membelai dan mengusap kepala Nur Syuhadah yang terlena akibat kenyang selepas menyusu dengan Nura. Nura hanya tersenyum. Hari ni genap seminggu usia Syuhadah. Nura Ain masih lemah akibat kehilangan banyak darah. Namun dikuatkan semangat demi Nur Syuhadah buah hatinya. Nura mencium sepenuh kasih sayang pipi comel anaknya itu. Nura membelai sayu wajah comel itu. Entah kenapa Nura rasa seperti terlalu sayu hari itu, hatinya terlalu sepi, semalam Nura mimpikan arwah ibunya, datang menjenguk Nura dan Syuhadah, tanpa suara, ibunya hanya tersenyum. Dan akhirnya berlalu begitu sahaja. Hari ini Nura menjadi seorang perindu, ia rindukan ibunya, dan diceritakan perkara itu pada Hilmi.

"Mungkin mak datang tengok cucu dia, dan mak amat gembira", pujuk Hilmi menenangkan Nura. “Abang, bawakan Nura ke tandas.?” Pinta Nura.“Baiklah, elok-elok sayang,?” pesan Hilmi pada Nura."Abang... tolong Nura bang!!" laung Nura dari bilik air. "Ya Allah Nura kenapa ni? Hilmi ketakutan. "Mak... tolong mak... makkkkkkkkkkk" Hilmi menjerit memanggil emaknya didapur. "Cepat, bawa Nura pergi hospital, cepat Hilmi" perintah Mak Hilmi. "Maaf encik, kami tidak dapat kami selamatkan isteri encik, terlalu banyak darah yang keluar, dan kami tak sempat berbuat apa-apa, isteri encik terlalu lemah dan akhirnya… Allah lebih sayangkan isteri encik.", terang doktor.

Terduduk Hilmi mendengarkan hal itu. Jenazah selamat dikebumikan. Syuhadah seakan mengerti yang dia sudah tidak akan menikmati titisan-titisan susu Nura Ain lagi. Syuhadah menangis seolah-olah ingin memberitahu dunia yang dia perlukan seorang ibu, seorang ibu yang bersusah payah, bersabung nyawa demi untuk melihat kelahirannya. Demi membahagiakan papanya, demi membahagiakan neneknya. Syuhadah terus menangis seolah-olah tidak rela dia dipisahkan dengan ibunya hanya bersamanya untuk sekejap cuma. Semua yang hadir kelihatan mengesat mata, tidak sanggup mendengar tangisan bayi kecil itu.

Semua terpaku dan terharu, Hilmi mendukung Syuhadah dan memujuk bayi kecil itu, akhirnya dia terlelap didakapan papanya. Genap seminggu permergian Nura Ain alam syurga. “Assalammulaikum…” jeritan dari luar rumah. “Waalaikumsalam… aik! Tuan doctor. Kenapa berdiri diluar sahaja. Mari masuk, nanti makcik panggilkan Hilmi.” Jemput mak Hilmi. “Hilmi…Hilmi…mari sini, tuan doctor datang” panggil mak Hilmi. “Tuan doctor, ada apa perkara tuan datang rumah saya?” Tanya Hilmi “Sebenarnya saya mahu sampaikan amanah aruah isteri encik Hilmi yang ditinggalkan kepada saya dan saya diamanahkan supaya bagi sendiri pada encik Hilmi, saya harap encik Hilmi terima dengan redha dan hati yang terbuka.” Kata doctor. Sedih hati Hilmi mendengarnya.

Dibukanya surat yang ditinggalkan oleh aruah isteri selepas tuan doctor meninggalkan rumah. Pelahan-lahan surat dibuka dengan hati sebak dan hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya pada masa itu.

Abang yang Nura rindui, Abang maafkan Nura kerana selama ini tidak mampu menjadi isteri yang terbaik buat abang. Saat abang membaca surat ini, mungkin Nura sudah jauh meninggalkan abang, Nura tak harapkan Nura akan selamat melahirkan anak ini, tapi Nura harap bayi akan selamat walau apa yang terjadi pada Nura, Itu harapan Nura bang. Nura masih ingat, rumah tangga kita hampir runtuh kerana Nura tidak mampu memberikan zuriat buat abang, tapi bang, kali ni doa Nura dimakbulkan, dan untuk itu, biarlah Nura menanggung segala kapayahan demi zuriat ini bang. Saat Nura menulis surat ini, Nura masih lagi menjadi penghuni setia katil hospital ini. Baby kita makin nakal bergerak bang, tapi Nura bahagia merasa tiap tendangan dia abang, Nura bahagia, cukuplah saat manis ini Nura dan dia. Nura rasakan setiap pergerakannya amat bermakna, dan andainya ditakdirkan Nura hanya ditakdirkan untuk bahagia bersama dia hanya dalam kandungan sahaja Nura redha bang. Siapalah Nura untuk menolak ketentuan-Nya. Nura tak mampu abang. Nura cukup bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah makbulkan doa Nura untuk mengandungkan zuriat dari benih abang yang Nura cintai dan kasihi selamanya. Nura redha sekiranya selepas ini walau apa terjadi, Nura redha, kerana Allah telah memberikan Nura sesuatu yang cukup istemewa, dan andainya maut memisahkan kita Nura harap abang redha sebagaimana Nura redha. Syukurlah sekurang-kurang Allah berikan nikmat kepada Nura untuk merasai nikmatnya menjadi seorang ibu walau cuma seketika. Andai apa yang Nura takutkan terjadi, dan bayi ini dapat diselamatkan Nura harap abang akan jaganya dengan penuh kasih sayang. Nura harap abang jangan biarkan hidupnya tanpa seorang ibu. Cuma satu Nura harapkan dia akan mendapat seorang ibu yang mampu menjaga seorang anak yatim dengan baik dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Seumur hayat Nura, Nura tak pernah meminta sesuatu dari abang, dan kini inilah permintaan Nura, janjilah anak ini akan mendapat seorang ibu yang penyayang. Abang yang Nura rindui... Dulu sewaktu rumah tangga kita dilandai badai, Nura ingin sangat ucapkan kata-kata ini pada abang, tapi Nura tak berkesempatan, dan walaupun kini Nura tiada lagi, tapi Nura nak abang tahu yang... Nura rindukan abang...... Nura rindu sangat dengan abang..... rindu bang... rindu sangat.... Sekian, Ikhlas dari Nura Ain isterimu Nura Ain Bt. Abdullah

Hilmi melipat kembali surat itu, yang telah dibaca berulang kali dan kini Hilmi amat rindukan Nura Ain... dan kini barulah Hilmi sedar betapa berharga sebuah kerinduan itu..... Nura.... abang juga rindukanmu sayang.. bisik hati Hilmi.



video

0 ulasan:

Catat Ulasan