Isnin, 11 Mei 2009

Sesuap Bubur Untuk Ibu


"Malam itu saya lihat ibu membuka penutup tin yg diletakkan di penjuru rumah. Ibu mengoncang-goncang dan meraup butiran beras di dlm tin itu. Hanya ada dua tin susu shj yg masih berbaki. Beras sudah hampir habis rupanya. Pada siapa ibu hendak mengadu? Ayah? Saya tahu, ibu tidak mahu memikirkan perkara itu.

"Ibu mengerling ke arah kami yg masih belum makan. Saya lihat ibu ambil sedikit beras dari dlm tin susu itu, kemudian memasukkannya ke dalam periuk. Air dituang sehingga penuh. Setelah hampir setengah jam, ibu masukkan ke dalam sebuah sepuluh buah pinggan yg sudah tersedia.

"Bubur nasi itu berasap. Seorang demi seorang anaknya dipanggil sehingga adik kami yg paling bongsu. Makanlah kami sepuluh beradik ini sehingga pinggan licin bersih. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya.

"Pagi, kami bangun untuk bersarapan dan saya perhatikan, ibu menyalakan api untuk memasak. Ibu mengambil baki beras di dalam tin susu. Sekali lagi ibu membuat bubur yang cair.

"Seperti semalam juga, kami menghirup bubur sehingga habis. Bubur itu, walaupun cair, saya rasakan begitu enak sekali. Kami mengadu tidak cukup tetapi saya lihat ibu menyibukkan dirinya membasuh pinggan dan periuk. Ibu seperti tidak mahu melayan permintaan kami.

"Tengahari itu pun begitu. Bubur nasi yang cair untuk kami sepuluh beradik. Setiap kali waktu makan, saya perhatikan ibu pasti menadah tangan tanda bersyukur anak-anaknya tidak kebuluran. Mungkin ibu bersyukur hari ini kami dapat menyambung nyawa untuk sehari dua lagi. Mungkin juga ibu bersyukur kerana, walaupun hidup miskin dan susah, tetapi kami tidak meminta-minta. Kemudian, saya lihat ibu berpaling ke belakang.

"Masuk hari ketiga, kakak kami yang sulung memandang ke arah ibu yang sedang duduk membelakangi kami adik-beradik. Saya tidak menyangka, seperti saya, kakak juga perasan ibu akan membelakangkan kami semasa menikmati bubur cairnya. Yang kedengaran hanya bunyi sudu bersentuhan dengan mangkuk.

"Saya tidak tahu kenapa. Adakah ibu mahu makan sendirian dan tidak mahu diganggu? Atau, ibu tidak sampai hati untuk menatap wajah kami yang sedang kelaparan?

"Perlahan-lahan kakak mengengsotkan badannya mendekati ibu. Alangkah sedihnya kakak apabila melihat rupa-rupanya ibu hanya melaga-lagakan sudu di dalam mangkuknya yang sebenarnya kosong. Tiada sebutir bubur nasi pun di dalam mangkuk ibunya!

"Kakak segera berbisik kepada kami yang duduk di sekelilingnya. Adik-adik yang lain turut berbisik cerita yang sama sehinggalah kepada yang bongsu. Kemudian kami seramai sepuluh beradik sepakat menghadiahkan sesudu bubur nasi untuk ibu.

"Kami sedih. Kami tahu ibu sedang kelaparan, tetapi ibu tidak mahu memberitahu kami. Ibu berkorban untuk kami, ibu sengaja melaga-lagakan sudunya dengan mangkuk bagi membohongi kami seolah-olah ibu juga sedang menikmati bubur nasi yang dimasaknya.

"Setelah semua menghadiahkan sesudu bubur, saya lihat kakak mengengsot mendekati ibu. Kemudian kakak menghulurkan semangkuk bubur cair yang kami kongsi bersama tadi.

"Makanlah mak!" kata kakak, perlahan.

"Ibu berpaling memandang kakak. Tanpa menyentuh mangkuk yang dihulurkan, ibu bingkas bangun, kemudian terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Kami hanya mampu melihat titisan-titisan air mata ibu berciciran di lantai sehingga ke pintu bilik..."

Saya terus mematikan radio. Saya tidak sanggup mendengarnya lagi. Dada saya sebak, mata saya digenangi air. Cerita seorang pendengar kepada stesen radio berkenaan sempena Hari Ibu pada tahun lalu itu terlalu sedih. Dan, saya masih mampu mengingatinya walaupun setahun sudah berlalu.

Alangkah bertuahnya pendengar tadi kerana mempunyai seorang ibu yang setabah ibunya.

Petikan rencana dari Mastika Mei 2009 tulisan Zulkarnain Zakaria

0 ulasan:

Catat Ulasan